Terkini

Jika tuan/puan ada masalah, utarakannya.

Bagi menepis persepsi salah yang selama ini menghantui sesetengah penduduk, mungkin disini saya boleh menulis serba sedikit kisah penubuhan JMB dan cara JMB bekerja.
  1. AJK JMB adalah pemilik unit Seri Mawar sendiri yang menghadiri taklimat dan mesyuarat penubuhan JMB oleh pemaju Bangi Height dan pihak berkuasa tempatan, MPKj. Ini dibawah peruntukan Akta 663.
  2. Semasa mesyuarat penubuhan diperlukan kouta 25% pemilik unit YANG TELAH MELANGSAIKAN JUMLAH PENGURUSAN BANGUNAN. Alhamdulillah pada masa itu, lima (5) pemilik yang menepati kriteria tersebut telah hadir. Itu pun setelah menunggu hampir 2 jam untuk mencukupkan korum. Maka begitulah tertubuhnya JMB Seri Mawar.
  3. Kegagalan menubuhkan JMB akan menyebabkan pengurusan bangunan kita diserahkan kepada AGEN LANTIKAN MPKj. Apa maknanya? Jika agen telah mengambil alih, pemilik tidak ada kuasa dalam menentukan pengurusan bangunan.
  4. Tetapi dengan JMB pemilik unit berkuasa pada bila-bila masa melalui AGM (Annual General Meeting) atau EGM (Emergency General Meeting). EGM boleh dipanggil jika 25% penduduk menulis secara rasmi kepada MPKj untuk diadakannya.
  5. Selepas penubuhan JMB, kelima-lima AJK yang tiada pengalaman ini telah merangkak-rangkak belajar ilmu baru dalam menguruskan bangunan disamping kerja hakiki ditempat bekerja masing-masing. Alhamdulillah, secara berperingkat-peringkat semua AJK bekerja sama dalam memantapkan JMB disamping cabaran hebat diterima pada mulanya dari pemaju dan MPKj sendiri.
  6. Proses yang dilalui sebagai contoh dalam memutuskan kaedah dalaman mengambil beberapa peringkat. Peringkat pertama dengan mengambil pakai kaedah dalaman sedia ada dari pemaju. Ianya diperdebat dalam beberapa mesyuarat JMB. Deraf tersebut kita telah dibuka untuk diperhalusi oleh penduduk. Maklumbalas tersebut kita telah bincang semula dalam mesyuarat JMB. Kemudian sebelum dipersetujui, kita panggil wakil Persatuan Penduduk untuk memberi komen sebelum dimaktubkan.
  7. Saya meneri banyak komen yang membina dan tak kurang juga komen yang tak sedap didengar secara mulut ke mulut. Tetapi JMB telah putuskan agar sebarang masalah atau isu yang timbul perlulah dikemukakan secara bertulis (atau isu borang loporan di pejabat JMB). Kemudian akan dibawa ke mesyuarat JMB yang juga diadakan bersama wakil Persatuan Penduduk.
  8. Atau dengan kata lain kalau malas nak tulis, bolehlah salurkan kepada wakil Persatuan Penduduk untuk dibincangkan dalam mesyuarat akan datang. Siapa wakil Persatuan Penduduk ini? Semua ahli Persatuan Penduduk diajak sama bagi setiap mesyuarat. Inilah wakil tuan-tuan atau puan-puan pilih semasa mesyuarat persatuan. Merekalah yang boleh membantu jika tuan-tuan atau puan-puan mempunyai sebarang masalah.
  9. Secara dasarnya keputusan diambil telah cuma mengambil kira pandangan sebanyak mungkin mereka yang akan terlibat dalam melaksanakan sebarang undang-undang. Cuma ada beberapa perkara perlu dilihat dari persektif realiti keadaan.
  10. Sebagai contoh realitinya Pengawal Keselamatan dulu (Pemaju) dibayar lebih mahal daripada apa yang kita bayar sekarang. Maka kualiti yang kita perolehi adalah sepadan dengan harga yang kita bayar. Dalam masa yang sama saya tidak menolak, ianya boleh diperbaiki dari masa ke semasa. Dan itu memang telah kita laksanakan secara berperingkat.
  11. Maka anggaplah JMB sebagai kawan yang boleh ditegur dan boleh menegur. Kerana JMB tidak mahu mencari musuh dengan sesiapa, hanya menjalankan tanggungjawab sosial dan menyempurnakan fardhu kifayah setelah ramai yang menolaknya. Kalau ikutkan hati sebenarnya saya pun tidak ingin berada ditempat saya sekarang, tapi takdir iIllahi, kenalah buat yang terbaik.
Dari Penduduk, Untuk Penduduk.

Majis Kesyukuran JMB

Semalam, pihak JMB telah mengadakan majlis kesyukuran dan bacaan doa selamat di pejabat JMB secara kecil-kecilan. Antara yang dijemput adalah ahli Surau Seri Dahlia, pekerja dan AJK JMB, ahli persatuan penduduk dan jiran-jiran berdekatan.

Majlis telah disempurnakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Ali dan kemudian diakhiri dengan sedikit jamuan. Bagi pihak JMB saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah sama-sama menjayakan majlis tersebut.

KECURIAN KERETA DI D'SENTRAL 6A

« on: Today at 16:00:59 »
Reply with quoteQuote

1. Kecurian kereta makin menjadi-jadi dan kali ini yang menjadi sasaran adalah:-

1.1. Pada 21 Mei 2009 dialamat No. 21, Jalan Seri Putra 3/Q – Skim D’Sentral 6A.
1.2. Kereta jenis Honda Civic 2.0 bernombor WSD 565 warna kelabu.
1.3. Kereta diletakkan di dalam parkir rumah.
1.4. Pintu pagar berkunci dan mangganya telah dipotong.

2. Dipercayai masa kehilangan adalah diantara jam 2.00 pagi hingga 6.00 pagi, kerana tuan rumah balik kerumah pada jam 2.00 pagi dan apabila hendak keluar ke tempat kerja lebeh kurang jam 6.30 pagi mendapati keretanya telah tiada.

3. Untuk maklumat, pada tarikh yang sama sebuah kereta jenis Honda Civic 2.0 juga telah kecurian di Bukit Mahkota dan 2 buah rumah telah dipecah masuk. Sila maklumkan kepada semua jiran-jiran supaya lebih berjaga-jaga dan diperhatikan masih terdapat banyak kereta-kereta dibiar/diletakkan di luar rumah seperti kereta-kereta mewah/menjadi pilihan yang memberi galakan dan minat kepada penjenayah-penjenayah untuk peluang mereka mencuri.

Sekian, terima kasih.

Norizan bin Hj Sulaiman
Eksekutif (Keselamatan)
BHDSB – 019-378 3778
nsizan@umland.com.my



Risau gak ni, dalam area rumah pun boleh hilang kete...just wonder the security level of Honda Car.

« Last Edit: Today at 16:10:41 by fauzie00 »

Carboot 7 Jun 2009

Insya-Allah Jualan Carboot seterusnya adalah pada 7 Jun 2009.

Semua warga Putra-Mahkota dijemput sama memeriahkannya.

Utusan Malaysia: Denda RM500 sehari jika gagal tubuh JMB

Dipetik dari Utusan Malaysia:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0515&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_03.htm&arc=hive

Denda RM500 sehari jika gagal tubuh JMB

SHAH ALAM 14 Mei - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah bertindak tegas dengan mengenakan kompaun sebanyak RM500 sehari terhadap pemaju kediaman bertingkat yang masih ingkar menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) di negeri ini mulai Julai ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, tindakan kompaun harian itu dibuat kerana kerajaan negeri telah memberikan tempoh yang secukupnya iaitu enam bulan kepada pemaju untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, JMB merupakan antara langkah yang dibuat oleh kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi penghuni kediaman bertingkat dan pemaju yang melibatkan soal kemudahan, penyenggaraan dan sebagainya.

"Sepatutnya JMB ini telah dimulakan pada 12 April tahun lalu, tetapi ia ditangguhkan sehingga Februari tahun ini. Malah, kami beri tempoh selama enam bulan kepada pemaju untuk menubuhkan JMB ini.

"Tetapi hanya 26 peratus sahaja pemaju yang mematuhinya manakala selebihnya tidak. Dianggarkan lebih 1,000 kediaman bertingkat masih belum menubuhkan JMB di seluruh Selangor.

"Mungkin pemaju ini tidak mahu berbuat demikian kerana mahu mengaut keuntungan memandangkan kos pengurusan bangunan kediaman ini boleh mencecah RM2 juta hingga RM3 juta setahun," kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Penguatkuasaan PBT Seluruh Malaysia di sini hari ini.

Menurut Iskandar, antara kawasan yang mempunyai banyak pembangunan kediaman bertingkat di Selangor ialah Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya.

Dalam pada itu, Iskandar meminta semua PBT supaya meneliti aspek perundangan dalam menguatkuasakan undang-undang di negeri itu bagi mengelakkan berlakunya masalah akibat daripada kelemahan-kelemahan tertentu.

"Kita dapati kelemahan daripada segi pemahaman dan penguasaan sering menjadi kelemahan dalam penguatkuasaan yang dijalankan oleh PBT. Keadaan itu menimbulkan masalah serta tanggapan negatif bahawa PBT gagal menyelesaikan setiap masalah yang berlaku.

"Maka, penelitian dari aspek ini (undang-undang) adalah penting dalam melaksanakan penguatkuasaan kerana ia dapat menangkis tuduhan seperti PBT tidak memainkan peranan dan sebagainya," ujarnya.

Utusan Malaysia: Serah segera hak milik strata - DBKL

Dipetik dari Utusan Malaysia:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0430&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_04.htm&arc=hive

"Menurut Ahmad Fuad, terdapat kewajaran pelantikan JMB di setiap perumahan bertingkat antaranya sebagai latihan kepada penduduk untuk menguruskan perkara berkaitan kawasan kediaman mereka termasukkerja-kerja penyenggaraan."
ARKIB : 30/04/2009

Serah segera hak milik strata - DBKL

KUALA LUMPUR 29 April - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi tempoh tiga bulan kepada pemaju untuk menyerahkan hak milik strata kediaman bertingkat kepada pemilik bagi mengelak tindakan dikenakan ke atas mereka.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail berkata, sebanyak 75,655 hak milik strata sudah berjaya diserahkan melibatkan kira-kira 73,895 pemilik kediaman, manakala 1,760 pemilik bangunan perdagangan.

Beliau berkata, pemaju yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta 663 yang diluluskan pada April 2007.

"Menerusi akta berkenaan, pemaju yang gagal berbuat demikian akan dikenakan tindakan mahkamah termasuk denda maksimum sebanyak RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan," ujarnyapada sidang media di sini, hari ini.

Difahamkan, kira-kira 40 peratus daripada 44,168 pemaju masih gagal menyerahkan hak milik strata, manakala 30 peratus sudah diserahkan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan selebihnya diserahkan kepada pemilik.

Menurut Ahmad Fuad, terdapat kewajaran pelantikan JMB di setiap perumahan bertingkat antaranya sebagai latihan kepada penduduk untuk menguruskan perkara berkaitan kawasan kediaman mereka termasukkerja-kerja penyenggaraan.

Katanya, pihak pemaju juga perlu tahu berkenaan Akta 663 agar penyerahan hak milik strata ini dapat disegerakan. Pemaju perlu menyerahkan hak milik strata dalam tempoh satu tahun sama ada melibatkan bangunan baru atau lama.

"Di ibu negara, kita mempunyai kira-kira 23,641 bangunan melibatkan kediaman dan perdagangan.

Bagi rumah kos rendah, pemaju biasanya menyerahkan hak milik strata lebih cepat berbanding kediaman jenis kondominium yang dilihat kurang bermasalah," ujarnya.

Difahamkan sebab-sebab hak milik strata agak lewat diserahkan kepada pemilik adalah kerana ia melibatkan beberapa bayaran termasuk duti setem dan sebagainya.

Tegas Ahmad Fuad, tindakan drastik tersebut diambil setelah perbincangan dilakukan antara pihak-pihak yang terlibat termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Pejabat Tanah dan Galian.


Utusan Malaysia: Selangor beri amaran

Dipetik dari Utusan Malaysia:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0205&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_03.htm&arc=hive

ARKIB : 05/02/2009

Selangor beri amaran

SHAH ALAM 4 Feb. - Kerajaan negeri memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pemaju yang masih berdegil terhadap arahan menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, amaran tersebut dibuat kerana dianggarkan sebanyak 1,814 kawasan yang dibangunkan termasuk kediaman bertingkat masih belum mempunyai badan pengurusan itu ketika ini.

Katanya, kerajaan negeri telah menetapkan tarikh akhir kepada pemaju supaya bekerjasama dengan penduduk mewujudkan JMB pada 12 April tahun lalu berdasarkan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) atau Akta 663 yang berkuatkuasa sejak April 2007.

"Bagaimanapun, tidak ramai pemaju yang mahu berbuat demikian dan sehingga kini hanya 693 JMB diwujudkan daripada 2,453 kawasan pembangunan kediaman bertingkat di Selangor.

"Sebenarnya penubuhan JMB ini diwujudkan bagi memastikan hak pembeli kediaman bertingkat dilindungi di bawah Akta 663.

"Oleh itu, kerajaan negeri akan bertindak tegas termasuk mengenakan tindakan undang-undang kepada pemaju yang ingkar," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambah beliau, keengganan pihak pemaju bekerjasama dengan penduduk menubuhkan JMB dilihat sebagai satu percubaan pemaju untuk terus mengaut keuntungan daripada para pemilik kediaman bertingkat melalui kos penyenggaraan dan sebagainya.

Iskandar turut memberitahu kerajaan negeri telah mengambil inisiatif menyediakan garis panduan pelaksanaan JMB mengikut Akta 663 iaitu berkaitan prosiding mesyuarat bagi membolehkan perjalanan JMB untuk semua kawasan kemajuan strata dapat berjalan lancar.

Malah, jelasnya garis panduan yang diluluskan kerajaan negeri pada 21 Januari lalu itu juga penting kerana selama ini tiada sebarang kaedah pelaksanaan kepada Akta 663 untuk dijadikan rujukan lengkap.

"Garis panduan ini akan digunapakai di Selangor sehinggalah kaedah lain di bawah akta atau terdapat pindaan ke atas Akta 663 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," kata beliau.

Utusan Malaysia: Pengguna digalak guna meter individu

Dipetik dari Utusan Malaysia:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0127&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_05.htm&arc=hive
ARKIB : 27/01/2009

Pengguna digalak guna meter individu

KUALA LUMPUR - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) meneruskan kempennya untuk menggalakkan penduduk di perumahan bertingkat menggunakan meter individu dengan membuka kaunter pendaftaran di Presint 9, Putrajaya baru-baru ini.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, kaunter pendaftaran itu dibuka bagi memudahkan penduduk mendaftar akaun individu, membuat bayaran serta mendapatkan penerangan lebih jelas daripada pegawai Syabas.

Menurutnya lagi, program itu akan membantu secara langsung Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) mempercepatkan proses permohonan pertukaran akaun pukal kepada akaun individu.

"Pegawai-pegawai Syabas ditempatkan di kaunter itu untuk membantu penghuni-penghuni mengisi borang, membuat penyemakan dan seterusnya memberikan kelulusan pada hari yang sama terhadap permohonan mereka," katanya.

Tambahnya, akaun meter individu boleh diaktifkan selewat-lewatnya pada 1 Mac ini setelah semua permohonan diterima daripada penghuni.

Menurut Halem lagi, Syabas menggalakkan pihak pengurusan bangunan yang masih belum membuat permohonan pertukaran kepada akaun individu supaya mengambil borang permohonan di pejabat-pejabat Syabas wilayah yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka.

"Semua permohonan migrasi mestilah dibuat melalui pihak yang menguruskan bangunan sama ada melalui Badan Pengurusan Bersama (JMB), Persatuan Penduduk atau Syarikat Pengurusan Bangunan," jelasnya.

"Permohonan bekalan air secara individu hanya boleh dibuat sekiranya permohonan migrasi yang dibuat oleh pihak pengurusan sesebuah bangunan telah diluluskan oleh pihak Syabas," tegasnya.


Utusan Malaysia: Rayu kerajaan bantu selesai masalah

Dipetik dari Utusan Malaysia:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1216&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_02.htm&arc=hive


ARKIB : 16/12/2008

Rayu kerajaan bantu selesai masalah

PELABUHAN KLANG 15 Dis. - Selain masalah keretakan tapak dan bangunan mendap, penduduk pangsapuri kos rendah Taman Permai Indah, Pandamaran dekat sini turut berhadapan dengan pelbagai masalah lain yang sememangnya menyusahkan kehidupan seharian mereka.

Masalah seperti lif rosak dan lif kecemasan tidak berfungsi, masalah dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB), pagar pangsapuri roboh dan rosak, bangunan tiada wayar bumi dan kegiatan tidak bermoral di rumah tidak berpenghuni begitu memeningkan dan merisaukan hati mereka.

Paling dikesalkan ialah walaupun telah banyak aduan dibuat dan berpucuk-pucuk surat dan memorandum dihantar kepada pemaju dan pihak berkuasa tempatan sejak dahulu hinggalah sekarang, masih tiada sebarang tindakan diambil oleh mana-mana pihak.

Yang ada hanyalah perbincangan tetapi tindakan masih belum dibuat atas pelbagai alasan yang dilihat seperti sengaja direka-reka.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permai Indah, A. Prakash, 36, penduduk sudah lama bersabar kerana perkara itu bukan baru berlaku sebulan dua tetapi ada yang telah hampir tiga tahun diutarakan.

Beliau berkata, apa yang menghairankan, bangunan yang mempunyai begitu banyak masalah dan kedudukannya pula terlalu dekat dengan sungai dan amat membahayakan boleh mendapat Sijil Layak Menduduki (CF).

"Mengenai masalah dengan JMB, walaupun pihak pengurusan baru JMB telah dilantik oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) sejak tahun lalu tetapi tiada kerjasama yang terjalin dengan penduduk.

"Yang dipersoalkan kenapa ahli jawatankuasa JMB juga merupakan kontraktor di sini," dakwa beliau.

Sehubungan itu, Prakash meminta MPK dan kerajaan negeri membantu menyelesaikan masalah yang berlaku di pangsapuri itu terutama mengenai masalah keselamatan penduduk akibat keretakan bangunan.

Dalam pada itu, Ahli Majlis MPK, Ang Mah Chye yang ditemui di pangsapuri itu memberitahu, pihaknya sedang berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) agar dapat melantik kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan terhadap kecacatan pada bangunan terbabit.

Menurutnya, pihaknya juga akan meminta jurutera MPK memeriksa tahap keselamatan di semua blok pangsapuri itu.

"Kita juga akan panggil persatuan penduduk, JMB serta mana-mana pihak berkaitan dalam satu mesyuarat bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi," tambahnya.

Utusan Malaysia: Badan pengurusan rumah pangsa bakal ditubuh

Dipetik dari Utusan Malaysia:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0502&pub=utusan_malaysia&sec=Utara&pg=wu_07.htm&arc=hive

ARKIB : 02/05/2008

Badan pengurusan rumah pangsa bakal ditubuh

PULAU PINANG 1 Mei - Kerajaan negeri akan mengkaji cadangan penubuhan Badan Pengurusan dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk rumah pangsa dalam usaha menggalakkan penghuninya membuat segala keputusan mengenai rumah mereka.

Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan, Wong Hon Wai berkata, penubuhan tersebut adalah penting bagi menggalakkan proses pendemokrasian di peringkat akar umbi.

''Badan berkenaan akan diselenggarakan oleh Bahagian Perumahan Kerajaan Pulau Pinang.

''Sebagai permulaan, hari ini saya membuat lawatan ke Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin untuk melihat sendiri keadaan di sini dan mendengar pendapat penghuni tersebut," katanya kepada pemberita di sini.

Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin terletak di kawasan Pengkalan Kota dan merupakan rumah pangsa terawal yang dibina di Pulau Pinang. Ia mula didiami pada tahun 1970 dan mempunyai satu blok bangunan setinggi 16 tingkat.

Hon Wai berkata, antara masalah yang dihadapi kerajaan negeri dalam menyelenggara Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin adalah hasil kutipan penyelenggaraan yang rendah dan terdapat banyak tunggakan pembayaran.

Menurutnya, sehingga 16 April lalu, tunggakan pembayaran penyelenggaraan di rumah pangsa itu telah mencecah RM30,550 dengan 21 unit rumah di situ tidak pernah membuat apa-apa pembayaran selama dua tahun.

Sedangkan, katanya, wang penyelenggaraan bulanan untuk Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin hanya RM15 dan jumlah berkenaan merupakan antara yang paling rendah di negeri ini.

Justeru, beliau meminta supaya penghuni di situ membayar wang penyelenggaraan tepat pada masanya dan membayar tunggakan tersebut kerana hasil kutipan itu akan digunakan untuk menaik taraf infrastruktur rumah pangsa tersebut.

''Wang yang dikutip itu akan digunakan untuk pembayaran bil elektrik dan air, penyelenggaraan dan pembersihan," katanya.

Terdahulu beliau berkata, sehingga kini, Bahagian Perumahan kerajaan negeri telah menyelenggara 42 buah projek merangkumi 13,775 unit rumah pangsa.

Antara kawasan yang terlibat dengan projek tersebut ialah Kampung Melayu, Padang Tembak, Taman Free School, Taman Tun Sardon dan Taman Tun Dr. Awang.

Utusan Malaysia: Kerjasama dengan JMB jamin bangunan terurus

Dipetik dari Utusan Malaysia:

ARKIB : 21/04/2008

Kerjasama dengan JMB jamin bangunan terurus

KAJANG 20 April - Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) meminta pembeli dan pemaju memberikan kerjasama kepada Perbadanan Pengurusan Bersama (JMB) yang dilantik bagi memastikan bangunan yang diduduki terurus.

Yang DiPertuanya, Datuk Hasan Nawawi Abd. Rahman berkata, ini sejajar dengan arahan supaya setiap bangunan kediaman dan komersial melantik JMB masing-masing bagi membolehkan mereka menyenggara dan menguruskan bangunan dan harta bersama.

Menurutnya, JMB yang dilantik dengan persetujuan pembeli dan pemaju akan mempunyai bidang kuasa tertentu dalam menguruskan bangunan tersebut seperti yang termaktub di bawah Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan Bangunan) 2007 atau Akta 663.

Ujarnya, selepas pelantikan itu, segala masalah yang melibatkan pengurusan akan dipertanggungjawabkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) untuk mengendalikannya.

"Pelantikan JMC ini hanya melibatkan pemilik kediaman dan bukannya penyewa serta kediaman yang mempunyai hak strata sahaja.

"Sekiranya selepas ini penghuni tidak mahu bekerjasama untuk menjelaskan kos penyenggaraan, mereka boleh dikenakan tindakan.

"Jika penghuni gagal menjelaskan tunggakan selama enam bulan bagi kos penyelenggaraan, kediaman mereka akan dilelong,'' katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sijil pelantikan JMB kepada 10 wakil penduduk.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MPKj, Abdullah Marjunid dan Ketua Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB), Bibi Khairani Mohamed Sabri.


Utusan Malaysia: Penduduk tidak jelas tunggakan, mesyuarat ditangguh 23 Mac

Perikan dari Utusan Malaysia:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0315&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_07.htm&arc=hive

ARKIB : 15/03/2008

Penduduk tidak jelas tunggakan, mesyuarat ditangguh 23 Mac

AMPANG Hasrat penduduk Pangsapuri Riveria 2, di sini, untuk menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) tidak kesampaian apabila kebanyakan daripada mereka masih belum menjelaskan tunggakan sehingga 31 Januari lalu.

Antara syarat yang membolehkan penduduk menjadi jawatankuasa dalam JMB ialah mereka perlu menjelaskan semua tunggakan yang ada.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee, berkata, masalah tersebut timbul kerana penduduk tidak mendapat maklumat yang tepat tentang syarat-syarat yang diperlukan bagi membolehkan mereka menubuhkan JMB.

"Penduduk juga ada menyuarakan masalah tentang tidak puas hati dengan pemaju yang tidak menjalankan perkhidmatan dengan baik.

"Namun, untuk mengelakkan pertelingkahan yang lebih buruk berlaku, saya telah meminta supaya pemaju melanjutkan tarikh mesyuarat penubuhan JMB kepada satu tarikh yang sesuai, sehingga penduduk menjelaskan tunggakan mereka," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Jenice juga telah meminta penduduk supaya menjelaskan tunggakan yang ada supaya mereka layak menjadi jawatankuasa dalam JMB.

Menurut beliau, JMB iaitu satu badan yang terdiri daripada pembeli dan pemaju yang bertanggungjawab untuk menyelenggara dan menguruskan harta bersama.

"JMB akan diberi kuasa untuk membuat apa sahaja keputusan berkaitan pengurusan bangunan dan adalah penting untuk penduduk yang membuat keputusan itu sendiri berbanding melantik syarikat lain.

"Saya berharap penduduk dan pemaju akan sepakat dalam membuat keputusan untuk kebaikan kedua-dua belah pihak," katanya.

Jenice memberitahu tarikh untuk mengadakan mesyuarat penubuhan JMB telah ditetapkan pada 23 Mac ini.

Utusan Malaysia: Pemaju wajib tubuh JMB sebelum 11 April

Dipetik dari Utusan Malaysia:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0219&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_03.htm&arc=hive

ARKIB : 19/02/2008

Pemaju wajib tubuh JMB sebelum 11 April

PANDAN PERDANA 18 Feb. - Semua pemaju rumah bertingkat di Selangor dikehendaki menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebelum 11 April ini, kata Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Datin Paduka Alinah Ahmad.

Beliau berkata, penubuhan JMB penting kerana ia akan membolehkan pemaju dan pembeli bekerjasama dalam menyenggara dan mengurus bangunan dan harta bersama.

Menurutnya, JMB mempunyai tanggungjawab dan kuasa yang telah ditetapkan oleh undang-undang dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

"Penubuhan JMB adalah di bawah peruntukan Subseksyen 4(1) Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan Dan Pengurusan Bangunan) 2007.

"Akta ini merangkumi penyenggaraan dari aspek keselamatan, kebersihan, penggunaan harta benda bersama, penjagaan unit individu serta kerja-kerja penambahan dan pengubahsuaian,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Rakyat Bersama LPHS di Pangsapuri Pandan Perdana di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Teratai, Yap Soo Sun.

Alinah seterusnya berkata, ahli-ahli JMB terdiri daripada pemaju dan pembeli rumah yang berperanan mewujudkan kawasan perumahan yang bersih dan harmoni.

Selain itu, katanya, mereka juga bertanggungjawab untuk menyenggara harta bersama dan menentukan caj yang dikenakan kepada pemilik rumah serta berkuasa mengutip caj tersebut.

Katanya, sekiranya pemaju tidak menubuhkan JMB atau mengadakan mesyuarat memilih jawatankuasa JMB, mereka boleh didakwa di mahkamah di bawah Subseksyen 5(5) akta tersebut.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

"Jika masalah tersebut berlaku, Pesuruhjaya Bangunan (COB) iaitu yang dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil alih tanggungjawab bersama pemilik untuk menyenggara kawasan kediaman serta melantik ejen pengurusan,'' jelasnya.

Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan yang Pangsapuri Pandan Perdana akan dicat melalui peruntukan kerajaan negeri bagi menceriakan perumahan bertingkat di negeri Selangor.

"Keempat-empat blok pangsapuri ini akan dicat semula dan kerja-kerja pembersihan dinding akan dimulakan pada minggu depan. Saya harap selepas ini penduduk bersama-sama menjaga kebersihan dan keindahan pangsapuri ini demi keselesaan semua pihak,'' ujarnya

Utusan Malaysia: Bertelagah kerana lif

Dipetik dari Utusan Malaysia:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0519&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_01.htm&arc=hive

ARKIB : 19/05/2009

Bertelagah kerana lif


Suradi Mohamed (kiri) menjelaskan mengenai kedudukan Pengurusan Bersama (JMB) semasa berbincang dengan penduduk yang berang dengan keadaan lif di Pangsapuri Permai, Sungai Besi yang sering rosak dan lambat dibaiki, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 18 Mei – Gara-gara vandalisme yang dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan lif sering rosak, pihak Pengurusan Bersama (JMB) dan penduduk Pangsapuri Permai, Sungai Besi di sini bertelagah sesama sendiri.

Ini kerana keadaan lif yang rosak teruk di kesemua lima blok di pangsapuri berkenaan menyebabkan penduduk berang terhadap JMB yang dikatakan lambat bertindak membaiki kemudahan tersebut.

JMB pula menyalahkan penduduk kerana tidak membayar yuran penyelenggaraan dan tidak memantau anak-anak mereka yang melakukan vandalisme.

Adegan tuduh-menuduh tersebut akhirnya selesai apabila Ketua Pemuda Gerakan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Lau Hoi Keong mengadakan perjumpaan bersama penduduk dan JMB Pangsapuri Permai baru-baru ini untuk menyelesaikan masalah terbabit.

Dalam pertemuan tersebut, Timbalan Pengerusi JMB Pangsapuri Permai, Suradi Mohamed memberitahu, dia kesal dengan tindakan penduduk yang hanya menyalahkan pihak pengurusan sahaja.

Jelasnya, pihak JMB sebenarnya dalam rancangan untuk membaiki lif di kesemua blok secara berperingkat-peringkat walaupun kutipan yuran penyelenggaraan hanya sedikit.

Setakat ini, katanya, hanya dua buah lif sahaja yang rosak sepenuhnya dan pihaknya sedang menunggu ketibaan alat ganti untuk membaiki lif tersebut.

“Setiap blok mempunyai tiga kemudahan lif namun selalunya hanya satu sahaja yang berfungsi. Bukan kita tidak baiki, namun selepas dibaiki, ia rosak semula keesokan harinya.

“Bayangkan berapa kos yang terpaksa kami terpaksa tanggung dan penduduk hanya menyalahkan kami sahaja,” katanya kepada pemberita di pejabat JMB Pangsapuri Permai, Sungai Besi di sini.

Tambahnya, pangsapuri 18 tingkat tersebut mempunyai 1,380 unit rumah dan diduduki oleh penduduk yang dipindahkan dari lima buah kawasan setinggan.

Jelasnya, mentaliti penduduk yang hanya mengharapkan JMB untuk memantau perbuatan vandalisme menyebabkan kejadian tersebut menjadi-jadi.

Suradi turut mengingatkan penduduk bahawa jika mereka gagal menjelaskan yuran penyenggaraan selama dua bulan berturut-turut, meter air mereka akan disita.

Jelasnya, penduduk yang gagal menjelaskan yuran berkenaan telah pun diberi notis sebanyak dua kali.

Selain itu, kata beliau, pihaknya juga dalam perancangan memasang kamera litar bertutup (CCTV) bagi mengatasi masalah vandalisme.

Sementara itu, Hoi Keong berkata, beliau berharap persatuan penduduk pangsapuri berkenaan dapat memberi kerjasama dengan JMB dalam memantau kejadian vandalisme.

Jelasnya, masalah tersebut dapat dikurangkan sekiranya penduduk kerap menjalankan rondaan.

“Lif adalah kemudahan yang paling penting untuk perumahan bertingkat, oleh itu, penduduk perlu menjaganya dengan baik untuk mengelakkan ia rosak memandangkan kos membaiki lif adalah tinggi.

“Saya juga berharap penduduk dapat bekerjasama serta menjelaskan yuran penyelenggaraan bagi membolehkan lif yang rosak dibaik pulih dengan segera,” jelasnya.

JMB & Persatuan Jumpa OCS Bandar Seri Putra

Semalam petang 6 wakil JMB dan Persatuan telah dipanggil berjumpa dengan OCS Bandar Seri Putra. Ini berkaitan dengan isu berbangkit berkaitan masalah dengan unit B-G-20. Beberapa kekeliruan sebelum ini telah diperbincangkan dan kedua-dua belah pihak telah menyatakan apa yang terbuku dihati. Kesimpulan perbincangan tersebut adalah masalah persepsi dan komunikasi antara kedua-dua belah pihak. Kedua-dua belah pihak juga telah bersetuju untuk bekerjasama antaranya:
  1. Pihak JMB & Persatuan akan memanggil sama pihak Polis untuk mesyuarat atau aktiviti.
  2. Polis akan meronda dalam kawasan Seri Mawar dan akan menulis catatan di pos pengawal.
  3. Kerjasama lebih erat antara kedua-dua entiti
  4. Mengurangkan jurang komunikasi antara kedua entiti.
Disamping itu, pihak JMB dan Persatuan telah menjelaskan sebab utama pintu pagar kecil dibuka. OCS Ramlan juga sebagai wakil persatuan penduduk Acacia telah dimaklumkan ianya untuk kemudahan pelajar SK Bandar Seri Putra bagi Seri Mawar dan Seri Dahlia. Pintu itu juga dimaklumkan hanya untuk pejalan kaki. Maka akan dinaikkan palang yang hanya boleh dilalui oleh pejalan kaki.

Semoga masalah antara Polis dan JMB/Persatuan tidak berbangkit lagi.

Terima kasih OCS Ramlan.

Entri berkaitan:
http://pangsapuriserimawar.blogspot.com/2009/05/lagi-motosikal-unit-b-g-20-dikunci.html

A-G-35 Untuk Dijual 65K


Saya menerima email berkenaan. Kepada sesiapa yang berminat, boleh terus menghubungi En. Athar Ali di nombor yang diberikan.

Salam...

Encik Kyreel, merujuk kepada catatan En Kyreel di laman web Seri Mawar, penama pertama unit ini, iaitu Rosnani Binti Bakar, & anaknya Azlin Mastura Binti Mohamed (penama kedua - H/P 0192710149), saya sebagai suami kepada penama kedua dan merupakan orang yang diamanahkan untuk menjaga dan mengawasi unit ini, mahu mengiklankan untuk mejual unit ini, pada harga 65K (boleh runding). Ini kerana pemilik pertama telah tiada punca pendapatan, dan menghadapi masalah menjelaskan pinjaman ( bagaimanapun setakat ini tiada bayaran tertunggak dengan pihak bank). Penilaian unit ini oleh CIMB pada bulan lepas ialah hampir 100k.

Sekian terimakasih.
Athar Ali Bin Izharul Haq
0193303663

Lelongan Bank (2009-05-19)

Mulai sekarang, saya akan cuba memaklumkan sebarang maklumat berkaitan sebarang lelongan awam, jualan dan sewaan di blog ini. Harap ini membantu bagi mereka yang ingin menjual, membeli atau menyewa.

Jika anda ingin mengiklankan sebarang lelongan awam, jualan, sewaan atau ingin membeli di blog ini, boleh emailkan kepada pihak kami.

Setakat 19 Mei 2009:

1. B-1-8, 1st Floor, Blok B, Pangsapuri Seri Mawar (Lelongan Awam, RM57,000, 017-8821990)
2. A-1-36, 1st Floor, Blok A, Apngsapuri Seri Mawar (Lelongan Awam, RM65,000)

Asas Penggunaan Internet & Aplikasi Google (Ulangan)

Insya-Allah bagi bulan ini, kursus Asas Penggunaan Internet & Aplikasi Google akan diadakan seperti berikut:

Tajuk: Asas Penggunaan Internet & Aplikasi Google (Ulangan)
Penyampai: Khairil Anuar
Tarikh: 23 Mei 2009
Masa: 4-7 petang
Bayaran: PERCUMA.

Proses Pemotongan Air

JMB dalam proses akhir mengubah kepada meter air individu. Seperti yang telah penduduk sedia maklum, untuk beberapa hari ini proses pemotongan air akan dilakukan bagi unit-unit yang gagal untuk serta dalam proses ini.

Pihak JMB sudah mula memotong bekalan air (cabut meter air lama) bagi unit-unit yang tidak didiami. Seterusnya, pemotongan juga akan dilakukan untuk unit-unit yang mempunyai penghuni. Kami berharap agar tiada sebarang insiden tidak diingini akan berlaku. Maka, kami menyeru buat kali terakhir agar unit yang berpenghuni agar menjelaskan segala bayaran dan menyerahkan dokumen yang diperlukan. Ini bagi mengelak daripada air ke unit anda dipotong.

Gambar Hiasan: Susahnya tanpa air.

Jika ianya dipotong, harap penghuni dapat bekerjasama agar tidak memprotes. Ini kerana, JMB telah memberi ruang dan masa (kita sudah mulai sejak Ogos 2008) yang mencukupi untuk semua pemilik dan penghuni bagi melaksanakan proses ini.

Posting berkaitan:
http://pangsapuriserimawar.blogspot.com/2009/05/lanjutantarikh-akhir-penyerahan-borang.html

Tabung Khairat Surau Seri Dahlia

Bagi penduduk Seri Mawar yang masih belum menjadi ahli sebarang khairat kematian, dikepilkan di bawah ini borang dan maklumat untuk menyertai Tabung Khairat Seri Dahlia (Tabung Khairat Kematian dan Jariah Surau Khaoiriyatulislamiah Seri Dahlia, Banadr Seri Putra).

Bagi kemudahan, salinan borang boleh diperolehi di pejabat pengurusan JMB. Borang dan bayaran yang telah siap diisi, boleh dihantar terus ke surau atau boleh juga dikembalikan ke pejabat pengurusan JMB.

Kadar sumbangan mengikut kategori:
  1. Ahli tetap: RM60 seumur hidup (Pendaftaran RM10 dan Keahlian RM50)
  2. Ahli: RM34 (Pendaftaran RM10 dan Keahlian RM24 setahun dan perlu diperbaharui setiap 1 Januari tahun berikutnya)
Marilah kita bersama menyertai tabung ini untuk kebaikan bersama.

Borang: PDF
Maklumat Tabung: PDF

Lagi Motosikal Unit B-G-20 dikunci

Terkini: Rantai tersebut telah dipotong juga.

Ini makluman terkini. Pihak pengurusan telah sekali lagi mengambil tindakan kepada motosikal kepunyaan unit B-G-20 (tapi motor lain daripada semalam). Cuma harapannya, rantai kita tidak dirosakkan lagi.

Posting berkaitan:
http://pangsapuriserimawar.blogspot.com/2009/05/motorsikal-unit-b-g-20-dikunci.html

Motorsikal Unit B-G-20 dikunci

Untuk makluman semua, setelah beberapa siri makluman lisan dan makluman bertulis telah diberikan kepada unit B-G-20 dan unit-unit lain disekitarnya, namun masih terdapat motorsikal diletakkan dikoridor pangsapuri. Maka, bagi melaksanakan tanggungjawab pihak JMB telah mengunci motosikal di unit B-G-20. Malang, baru sebentar tadi pihak JMB dimaklumkan bahawa rantai tersebut telah dipecahkan. Pihak kami amat dukacita atas tindakan tersebut dan akan terus memastikan kaedah dalaman (undang-undang) dikuatkuasakan bagi menjaga kepentingan majoriti penduduk.

Operasi Penguatkuasaan Undang-Undang

Semalam 12 Mei 2009, AJK JMB dan Persatuan Penduduk telah sama-sama meronda kedua-dua blok bangunan Seri Mawar untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang (rujuk House Rules). Operasi telah dijalankan dengan kehadiran seramai 12 orang. Antara perkara yang telah diambil tindakan:

  1. Memastikan tiada motosikal diletakkan di koridor pangsapuri (terutamanya Blok B).
  2. Memastikan tiada kenderaan diletakkan bukan ditempat yang dikhaskan (tepi Blok A).
  3. Akan mengeluarkan surat agar ubahsuai unit B-G-007 dijalankan dengan kemas dan teratur.
  4. Pokok betik mati di Blok B telah ditumbangkan.
  5. Mengemaskan pagar yang rosak terutamanya berdekatan bangunan TNB.
Insya-Allah malam ini operasi yang sama akan dijalankan kali ke dua.

Terima kasih kepada yang turut hadir.

Kenduri Anak En Rahim 6/6/09

Saya telah mendapat jemputan rasmi ke majlis perkahwinan anak En Rahim (Pengerusi JMB dan Timb. Pengerusi Persatuan Penduduk). Tarikhnya jatuh pada 6/6/09 dari tengahari hingga petang hari tersebut. Saya dimaklumkan bahawa semua penduduk dijemput sama disamping membantu (gotong-royong) untuk melancarkan majlis tersebut. Gotong-royong masak-memasak akan dimulakan daripada hari sebelumnya dan pagi tersebut.

Harap semua dapat turun.

Buletin D'Mawar, Siri 2, Mei 2009

PDF atau DOCX

Ubahsuai Rumah

Makluman. Mana-mana unit yang ingin melakukan sebarang ubahsuai perlu mendapat kebenaran JMB. Serta kerja-kerja tersebut perlu dilakukan dalam masa yang ditetapkan mengikut ketetapan Kaedah Dalaman.

Berikut adalah proses untuk ubahsuai rumah:

  • Ubahsuai perlu mendapat kebenaran JMB dengan mengisi borang
  • Pemilik/penduduk perlu memaklumkan JMB dalam tidak kurang TIGA (3) hari bekerja
  • Deposit RM300.00 perlu diserahkan bersama-sama borang permohonan
  • Kerja ubahsuai perlu dilakukan dalam masa ditetapkan (Isnin-Sabtu sahaja, 8pagi-6ptg)
  • Kerja ubahsuai mesti tidak merubah struktur utama bangunan dan tidak menjejaskan kawasan bersama
  • Kontraktor perlu mendaftar untuk mendapat kad pelepasan sementara.
  • Pemilik dan kontraktor perlu mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh JMB.
  • Pemilik dan kontraktor perlu memastikan keselamatan dan kebersihan kawasan bersama dijaga sepanjang masa. (Sampah perlu dibuang pada tempatnya)
  • Deposit hanya akan dipulangkan apabila JMB puas hati dengan proses yang telah dilakukan.
  • Apabila kerja-kerja pengubahsuaian selesai, pemilik perlu memaklumkan kepada JMB untuk pemeriksaan sebelum wang deposit boleh dikembalikan.
  • Jika terdapat sebarang perlanggaran, sebahagian atau keseluruhan wang deposit tersebut boleh digunakan untuk membaiki kerosakan yang terjadi.
  • Jika deposit tidak mencukupi, penduduk akan dikenakan caj tambahan mengikut jumlah yang dibilkan kepada JMB.

Pagar Gelongsor dan Pagar Kecil ke SKBSP

Salam,

JMB kini dalam proses menyediakan pagar gelongsor dan pagar kecil ke SK Bandar Seri Putra.

Pagar gelongsor itu disediakan untuk mengawal individu keluar masuk dipintu hadapan. Dengan ini diharap dapat mengurangkan kemasukan individu tanpa perhatian pengawal.

Manakala pagar kecil ini disediakan untuk kemudahan pelajar ke sekolah apabila sekolang tersebut dibuka. Masa pembukaan masih belum ditetapkan. Jika ada sebarang cadangan, bolehlah menyalurkan melalui peti cadangan di pos pengawal atau terus ke pejabat JMB.

Gotong-Royong Mawar - Selari Gotong-Royong Perdana

Persatuan Penduduk dan JMB akan bersama-sama mengadakan gotong-royong yang akan selari dengan tarikh Gotong-Royong Perdana Bandar Seri Putra.

Tarikh: 21 Jun 2009

Harap semua dapat kosongkan kalendar aktiviti anda.

Jom Gotong-Royong!

LanjutanTarikh Akhir Penyerahan Borang Syabas

Atas sebab yang tidak dapat dielakkan, tarikh akhir penyerahan Borang Syabas terpaksa dilanjutkan. Berikut beberapa tarikh penting:

  • Tarikh akhir serah borang: 16 Mei 2009 (Tindakan: Semua Pemilik Unit)
  • Kerja pemotongan air: 18-21 Mei 2009 (Tindakan: JMB dan Persatuan)
  • Kerja Syabas Bermula: 22 Mei 2009 (Tindakan: Syabas)
Oleh itu semua pemilik unit diingatkan untuk menyelesaikan semua bayaran dan dokumen yang diperlukan untuk mengelakkan daripada unit anda dipotong perkhidmatan air.

Malinglist Terkini

Related Posts with Thumbnails

Kalendar

Maklumat Setempat

Pihak Berkuasa Berkaitan

Malaysiakini

Berita Harian

ESPNsoccernet