Terkini

Utusan Malaysia: Selangor beri amaran

Dipetik dari Utusan Malaysia:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0205&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_03.htm&arc=hive

ARKIB : 05/02/2009

Selangor beri amaran

SHAH ALAM 4 Feb. - Kerajaan negeri memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pemaju yang masih berdegil terhadap arahan menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, amaran tersebut dibuat kerana dianggarkan sebanyak 1,814 kawasan yang dibangunkan termasuk kediaman bertingkat masih belum mempunyai badan pengurusan itu ketika ini.

Katanya, kerajaan negeri telah menetapkan tarikh akhir kepada pemaju supaya bekerjasama dengan penduduk mewujudkan JMB pada 12 April tahun lalu berdasarkan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) atau Akta 663 yang berkuatkuasa sejak April 2007.

"Bagaimanapun, tidak ramai pemaju yang mahu berbuat demikian dan sehingga kini hanya 693 JMB diwujudkan daripada 2,453 kawasan pembangunan kediaman bertingkat di Selangor.

"Sebenarnya penubuhan JMB ini diwujudkan bagi memastikan hak pembeli kediaman bertingkat dilindungi di bawah Akta 663.

"Oleh itu, kerajaan negeri akan bertindak tegas termasuk mengenakan tindakan undang-undang kepada pemaju yang ingkar," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambah beliau, keengganan pihak pemaju bekerjasama dengan penduduk menubuhkan JMB dilihat sebagai satu percubaan pemaju untuk terus mengaut keuntungan daripada para pemilik kediaman bertingkat melalui kos penyenggaraan dan sebagainya.

Iskandar turut memberitahu kerajaan negeri telah mengambil inisiatif menyediakan garis panduan pelaksanaan JMB mengikut Akta 663 iaitu berkaitan prosiding mesyuarat bagi membolehkan perjalanan JMB untuk semua kawasan kemajuan strata dapat berjalan lancar.

Malah, jelasnya garis panduan yang diluluskan kerajaan negeri pada 21 Januari lalu itu juga penting kerana selama ini tiada sebarang kaedah pelaksanaan kepada Akta 663 untuk dijadikan rujukan lengkap.

"Garis panduan ini akan digunapakai di Selangor sehinggalah kaedah lain di bawah akta atau terdapat pindaan ke atas Akta 663 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," kata beliau.

0 comments:

Malinglist Terkini

Related Posts with Thumbnails

Kalendar

Maklumat Setempat

Pihak Berkuasa Berkaitan

Malaysiakini

Berita Harian

ESPNsoccernet