Dipetik dari Utusan Malaysia:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0502&pub=utusan_malaysia&sec=Utara&pg=wu_07.htm&arc=hive
ARKIB : 02/05/2008Badan pengurusan rumah pangsa bakal ditubuh
PULAU PINANG 1 Mei - Kerajaan negeri akan mengkaji cadangan penubuhan Badan Pengurusan dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk rumah pangsa dalam usaha menggalakkan penghuninya membuat segala keputusan mengenai rumah mereka.
Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan, Wong Hon Wai berkata, penubuhan tersebut adalah penting bagi menggalakkan proses pendemokrasian di peringkat akar umbi.
''Badan berkenaan akan diselenggarakan oleh Bahagian Perumahan Kerajaan Pulau Pinang.
''Sebagai permulaan, hari ini saya membuat lawatan ke Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin untuk melihat sendiri keadaan di sini dan mendengar pendapat penghuni tersebut," katanya kepada pemberita di sini.
Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin terletak di kawasan Pengkalan Kota dan merupakan rumah pangsa terawal yang dibina di Pulau Pinang. Ia mula didiami pada tahun 1970 dan mempunyai satu blok bangunan setinggi 16 tingkat.
Hon Wai berkata, antara masalah yang dihadapi kerajaan negeri dalam menyelenggara Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin adalah hasil kutipan penyelenggaraan yang rendah dan terdapat banyak tunggakan pembayaran.
Menurutnya, sehingga 16 April lalu, tunggakan pembayaran penyelenggaraan di rumah pangsa itu telah mencecah RM30,550 dengan 21 unit rumah di situ tidak pernah membuat apa-apa pembayaran selama dua tahun.
Sedangkan, katanya, wang penyelenggaraan bulanan untuk Rumah Pangsa Gat Lebuh Noordin hanya RM15 dan jumlah berkenaan merupakan antara yang paling rendah di negeri ini.
Justeru, beliau meminta supaya penghuni di situ membayar wang penyelenggaraan tepat pada masanya dan membayar tunggakan tersebut kerana hasil kutipan itu akan digunakan untuk menaik taraf infrastruktur rumah pangsa tersebut.
''Wang yang dikutip itu akan digunakan untuk pembayaran bil elektrik dan air, penyelenggaraan dan pembersihan," katanya.
Terdahulu beliau berkata, sehingga kini, Bahagian Perumahan kerajaan negeri telah menyelenggara 42 buah projek merangkumi 13,775 unit rumah pangsa.
Antara kawasan yang terlibat dengan projek tersebut ialah Kampung Melayu, Padang Tembak, Taman Free School, Taman Tun Sardon dan Taman Tun Dr. Awang.
0 comments:
Catat Ulasan