Terkini

Utusan Malaysia: Rayu kerajaan bantu selesai masalah

Dipetik dari Utusan Malaysia:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1216&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_02.htm&arc=hive


ARKIB : 16/12/2008

Rayu kerajaan bantu selesai masalah

PELABUHAN KLANG 15 Dis. - Selain masalah keretakan tapak dan bangunan mendap, penduduk pangsapuri kos rendah Taman Permai Indah, Pandamaran dekat sini turut berhadapan dengan pelbagai masalah lain yang sememangnya menyusahkan kehidupan seharian mereka.

Masalah seperti lif rosak dan lif kecemasan tidak berfungsi, masalah dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB), pagar pangsapuri roboh dan rosak, bangunan tiada wayar bumi dan kegiatan tidak bermoral di rumah tidak berpenghuni begitu memeningkan dan merisaukan hati mereka.

Paling dikesalkan ialah walaupun telah banyak aduan dibuat dan berpucuk-pucuk surat dan memorandum dihantar kepada pemaju dan pihak berkuasa tempatan sejak dahulu hinggalah sekarang, masih tiada sebarang tindakan diambil oleh mana-mana pihak.

Yang ada hanyalah perbincangan tetapi tindakan masih belum dibuat atas pelbagai alasan yang dilihat seperti sengaja direka-reka.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permai Indah, A. Prakash, 36, penduduk sudah lama bersabar kerana perkara itu bukan baru berlaku sebulan dua tetapi ada yang telah hampir tiga tahun diutarakan.

Beliau berkata, apa yang menghairankan, bangunan yang mempunyai begitu banyak masalah dan kedudukannya pula terlalu dekat dengan sungai dan amat membahayakan boleh mendapat Sijil Layak Menduduki (CF).

"Mengenai masalah dengan JMB, walaupun pihak pengurusan baru JMB telah dilantik oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) sejak tahun lalu tetapi tiada kerjasama yang terjalin dengan penduduk.

"Yang dipersoalkan kenapa ahli jawatankuasa JMB juga merupakan kontraktor di sini," dakwa beliau.

Sehubungan itu, Prakash meminta MPK dan kerajaan negeri membantu menyelesaikan masalah yang berlaku di pangsapuri itu terutama mengenai masalah keselamatan penduduk akibat keretakan bangunan.

Dalam pada itu, Ahli Majlis MPK, Ang Mah Chye yang ditemui di pangsapuri itu memberitahu, pihaknya sedang berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) agar dapat melantik kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan terhadap kecacatan pada bangunan terbabit.

Menurutnya, pihaknya juga akan meminta jurutera MPK memeriksa tahap keselamatan di semua blok pangsapuri itu.

"Kita juga akan panggil persatuan penduduk, JMB serta mana-mana pihak berkaitan dalam satu mesyuarat bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi," tambahnya.

0 comments:

Malinglist Terkini

Related Posts with Thumbnails

Kalendar

Maklumat Setempat

Pihak Berkuasa Berkaitan

Malaysiakini

Berita Harian

ESPNsoccernet