Terkini

Utusan Malaysia: Denda RM500 sehari jika gagal tubuh JMB

Dipetik dari Utusan Malaysia:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0515&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_03.htm&arc=hive

Denda RM500 sehari jika gagal tubuh JMB

SHAH ALAM 14 Mei - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah bertindak tegas dengan mengenakan kompaun sebanyak RM500 sehari terhadap pemaju kediaman bertingkat yang masih ingkar menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) di negeri ini mulai Julai ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, tindakan kompaun harian itu dibuat kerana kerajaan negeri telah memberikan tempoh yang secukupnya iaitu enam bulan kepada pemaju untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, JMB merupakan antara langkah yang dibuat oleh kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi penghuni kediaman bertingkat dan pemaju yang melibatkan soal kemudahan, penyenggaraan dan sebagainya.

"Sepatutnya JMB ini telah dimulakan pada 12 April tahun lalu, tetapi ia ditangguhkan sehingga Februari tahun ini. Malah, kami beri tempoh selama enam bulan kepada pemaju untuk menubuhkan JMB ini.

"Tetapi hanya 26 peratus sahaja pemaju yang mematuhinya manakala selebihnya tidak. Dianggarkan lebih 1,000 kediaman bertingkat masih belum menubuhkan JMB di seluruh Selangor.

"Mungkin pemaju ini tidak mahu berbuat demikian kerana mahu mengaut keuntungan memandangkan kos pengurusan bangunan kediaman ini boleh mencecah RM2 juta hingga RM3 juta setahun," kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Penguatkuasaan PBT Seluruh Malaysia di sini hari ini.

Menurut Iskandar, antara kawasan yang mempunyai banyak pembangunan kediaman bertingkat di Selangor ialah Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya.

Dalam pada itu, Iskandar meminta semua PBT supaya meneliti aspek perundangan dalam menguatkuasakan undang-undang di negeri itu bagi mengelakkan berlakunya masalah akibat daripada kelemahan-kelemahan tertentu.

"Kita dapati kelemahan daripada segi pemahaman dan penguasaan sering menjadi kelemahan dalam penguatkuasaan yang dijalankan oleh PBT. Keadaan itu menimbulkan masalah serta tanggapan negatif bahawa PBT gagal menyelesaikan setiap masalah yang berlaku.

"Maka, penelitian dari aspek ini (undang-undang) adalah penting dalam melaksanakan penguatkuasaan kerana ia dapat menangkis tuduhan seperti PBT tidak memainkan peranan dan sebagainya," ujarnya.

0 comments:

Malinglist Terkini

Related Posts with Thumbnails

Kalendar

Maklumat Setempat

Pihak Berkuasa Berkaitan

Malaysiakini

Berita Harian

ESPNsoccernet