Terkini

Utusan Malaysia: Bertelagah kerana lif

Dipetik dari Utusan Malaysia:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0519&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_01.htm&arc=hive

ARKIB : 19/05/2009

Bertelagah kerana lif


Suradi Mohamed (kiri) menjelaskan mengenai kedudukan Pengurusan Bersama (JMB) semasa berbincang dengan penduduk yang berang dengan keadaan lif di Pangsapuri Permai, Sungai Besi yang sering rosak dan lambat dibaiki, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 18 Mei – Gara-gara vandalisme yang dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan lif sering rosak, pihak Pengurusan Bersama (JMB) dan penduduk Pangsapuri Permai, Sungai Besi di sini bertelagah sesama sendiri.

Ini kerana keadaan lif yang rosak teruk di kesemua lima blok di pangsapuri berkenaan menyebabkan penduduk berang terhadap JMB yang dikatakan lambat bertindak membaiki kemudahan tersebut.

JMB pula menyalahkan penduduk kerana tidak membayar yuran penyelenggaraan dan tidak memantau anak-anak mereka yang melakukan vandalisme.

Adegan tuduh-menuduh tersebut akhirnya selesai apabila Ketua Pemuda Gerakan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Lau Hoi Keong mengadakan perjumpaan bersama penduduk dan JMB Pangsapuri Permai baru-baru ini untuk menyelesaikan masalah terbabit.

Dalam pertemuan tersebut, Timbalan Pengerusi JMB Pangsapuri Permai, Suradi Mohamed memberitahu, dia kesal dengan tindakan penduduk yang hanya menyalahkan pihak pengurusan sahaja.

Jelasnya, pihak JMB sebenarnya dalam rancangan untuk membaiki lif di kesemua blok secara berperingkat-peringkat walaupun kutipan yuran penyelenggaraan hanya sedikit.

Setakat ini, katanya, hanya dua buah lif sahaja yang rosak sepenuhnya dan pihaknya sedang menunggu ketibaan alat ganti untuk membaiki lif tersebut.

“Setiap blok mempunyai tiga kemudahan lif namun selalunya hanya satu sahaja yang berfungsi. Bukan kita tidak baiki, namun selepas dibaiki, ia rosak semula keesokan harinya.

“Bayangkan berapa kos yang terpaksa kami terpaksa tanggung dan penduduk hanya menyalahkan kami sahaja,” katanya kepada pemberita di pejabat JMB Pangsapuri Permai, Sungai Besi di sini.

Tambahnya, pangsapuri 18 tingkat tersebut mempunyai 1,380 unit rumah dan diduduki oleh penduduk yang dipindahkan dari lima buah kawasan setinggan.

Jelasnya, mentaliti penduduk yang hanya mengharapkan JMB untuk memantau perbuatan vandalisme menyebabkan kejadian tersebut menjadi-jadi.

Suradi turut mengingatkan penduduk bahawa jika mereka gagal menjelaskan yuran penyenggaraan selama dua bulan berturut-turut, meter air mereka akan disita.

Jelasnya, penduduk yang gagal menjelaskan yuran berkenaan telah pun diberi notis sebanyak dua kali.

Selain itu, kata beliau, pihaknya juga dalam perancangan memasang kamera litar bertutup (CCTV) bagi mengatasi masalah vandalisme.

Sementara itu, Hoi Keong berkata, beliau berharap persatuan penduduk pangsapuri berkenaan dapat memberi kerjasama dengan JMB dalam memantau kejadian vandalisme.

Jelasnya, masalah tersebut dapat dikurangkan sekiranya penduduk kerap menjalankan rondaan.

“Lif adalah kemudahan yang paling penting untuk perumahan bertingkat, oleh itu, penduduk perlu menjaganya dengan baik untuk mengelakkan ia rosak memandangkan kos membaiki lif adalah tinggi.

“Saya juga berharap penduduk dapat bekerjasama serta menjelaskan yuran penyelenggaraan bagi membolehkan lif yang rosak dibaik pulih dengan segera,” jelasnya.

0 comments:

Malinglist Terkini

Related Posts with Thumbnails

Kalendar

Maklumat Setempat

Pihak Berkuasa Berkaitan

Malaysiakini

Berita Harian

ESPNsoccernet