Terkini

Artikel Utusan berkenaan JMB

Artikel dalam Utusan untuk JMB ambil perhatian.

ARKIB : 29/04/2009

JMB umpama tidak wujud


YEW Teong Look (dua dari kiri) dibawa oleh penduduk melihat sebahagian motosikal rosak yang ditinggalkan di sub stesen TNB Apartmen Idaman Suria, Batu 5, Gombak selepas majlis dialog baru-baru ini. -UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN


KUALA LUMPUR 28 April - Masalah prasarana yang tidak sempurna di perumahan bertingkat bukanlah isu baru yang hendak diuar-uarkan.

Pelbagai cara telah dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut oleh pihak-pihak berkenaan, namun ia jarang sekali dapat diselesaikan.

Ini kerana, penduduk, pemaju mahupun pihak pengurusan bangunan atau Badan Pengurusan Bersama (JMB) sering menuding jari antara satu sama lain dan tidak mahu bertanggungjawab.

Pokok masalah yang sering menghantui mereka ialah faktor kewangan menyebabkan banyak perkara yang tidak dapat dilaksanakan.

Dan, apabila kerajaan mengarahkan JMB ditubuhkan di setiap perumahan bertingkat, masalah berkenaan dilihat akan dapat diselesaikan tetapi harapan itu hanya tinggal harapan, malah masalah lain pula timbul.

Tetapi, apa yang berlaku kepada 288 unit rumah di Apartmen Idaman Suria, Batu 5, Gombak amat memeranjatkan apabila apartmen yang diduduki mereka tidak mempunyai JMB.

Ini kerana, JMB yang dilantik pada bulan Ogos tahun lalu terpaksa dibubarkan memandangkan hanya dua orang ahli sahaja yang wujud di dalam organisasi berkenaan daripada sembilan orang yang dilantik.

Menurut penduduk, masalah tersebut timbul apabila lima orang daripada mereka menarik diri daripada menjadi komuniti pengurusan tersebut kerana tidak berpuas hati dengan pelantikan dua orang ahli jawatankuasa yang didakwa turut tidak membayar yuran penyenggaraan apartmen berkenaan.

Seorang wakil penduduk yang ditemui, Stanley Tay, 57, mengakui bahawa masalah apartmen berkenaan berlarutan semenjak JMB yang ada enggan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi melantik ahli jawatankuasa baru.

Ujarnya, walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menghantar notis arahan kepada JMB agar mengadakan EGM namun mereka tetap berdegil.

"DBKL telah menghantar notis arahan mengadakan EGM berkenaan pada 19 Mac lalu namun mereka masih enggan mengadakan EGM.

"Sekiranya mereka enggan mengadakan EGM berkenaan sebelum tarikh yang ditetapkan, DBKL akan melantik sendiri JMB baru untuk apartmen berkenaan dan JMB lama akan terbatal secara terus," katanya pada majlis dialog bersama penduduk di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi MCA Bahagian Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look dan wakil DBKL.

Pada majlis dialog tersebut, pelbagai masalah berkaitan prasarana diadukan oleh penduduk selain kekecewaan terhadap JMB tersebut.

Seorang penduduk yang ditemui, Ahmad Zaki Mohamad Yusuf, 41, berkata masalah utama di apartmen tersebut adalah sistem saluran air yang tidak disenggara dengan baik sama ada di bumbung mahupun sink.

Ini kerana, sejak dia menetap di apartmen berkenaan 11 tahun yang lalu, masalah tersebut tidak pernah selesai.

"Masalah air dalam saluran di bumbung dan sink tersumbat sering menghantui penghuni di sini terutama apabila hujan lebat.

"Apabila saluran air tersebut bocor, banyak barang rumah saya yang rosak teruk dan lebih memburukkan keadaan rumah dipenuhi sampah-sarap dan pasir yang keluar dari saluran air berkenaan.

"Selain itu, kami juga terpaksa menghadapi masalah serangan anai-anai sehinggakan banyak perabot kayu rosak," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Sherina Mohd. Sadid, 37, memberitahu masalah lif yang daif turut membimbangkan penghuni.

Ini kerana, jelasnya keadaan dinding dan lantai lif tersebut yang hampir runtuh tidak dibaiki walaupun telah diadukan beberapa kali.

"Memang mengerikan apabila melihat keadaan lif berkenaan apatah lagi ia juga sering digunakan oleh kanak-kanak secara berseorangan memandangkan lantai dan dinding tersebut hanya menunggu masa untuk runtuh," ujarnya.

Seorang warga emas, Soo Soo Bee, 64, melahirkan rasa kecewa apabila kebanyakan kemudahan tidak disenggara dengan baik.

"Apabila hendak keluar pada waktu pagi, saya sering menghadapi masalah kerana kebanyakan pemilik motosikal meletakkan kenderaan mereka di tempat yang tidak sepatutnya sehingga menghalang kenderaan untuk keluar dan masuk.

"Selain itu, masalah paip bomba yang tidak berfungsi juga membimbangkan kami sekiranya berlaku kebakaran," katanya.

0 comments:

Malinglist Terkini

Related Posts with Thumbnails

Kalendar

Maklumat Setempat

Pihak Berkuasa Berkaitan

Malaysiakini

Berita Harian

ESPNsoccernet