
Petang  ini Adun sekeluarga – isteri & anak menantu bersama saudara Azizi  bertolak dari rumah ke masjid Al-Hasanah dalam jangkaan waktu boleh tiba  sebelum maghrib, tetapi tiba ke trafik light di hadapan Pejabat Daerah  tersekat, kerana kenderaan bersesak-sesak yang hampir ke semua menuju ke  masjid. Adun tiba sedikit lewat dan terpaksa berjamaah Maghrib  berasingan. Semua ruang masjid penuh, bahkan jamaah melempah-ruah  keluar. Apabila selesai, Adun berusaha ke hadapan, walaupun begitu  sukar, kerana sebagai Penganjur Ceramah melalui Lajnah Masjid-Surau  Adun, sewajarnya Adun bersama menyambut Ustaz Azhar Idrus yang beliau  juga terkandas dan ketibaannya hampir bersamaan dengan Adun. Walau  bagaimana Adun dapat tiba ke hadapan sebelum sedikit dari ceramah  dimulakan.
Ceramah dianjur Pejabat Adun dengan kerjasama Masjid  Al-Hasanah dan Persatuan Penduduk BBB ini, disifatkan oleh Ustaz Azhar  dalam ceramahnya antara teramai yang pernah menghadiri ceramahnya dan  mereka kebanyakannya adalah golongan muda. Jumlah kehadiran melebihi 10  ribu orang.

Adun  duduk berdepan dengan Ustaz Azhar – beliau di atas kerusi bermeja,  sambil mengikuti ceramahnya, sambil memerhati keistimewaannya yang  dengan auranya sebagai magnet menarik hadirin. Untuk mengatakan beliau  berceramah, tetapi tidak sepenuhnya ceramah, kerana beliau juga bersifat  mengajar. Beliau sebenarnya menggunakan kitab berjudul `Anak Kunci  Syurga` secara syarah, bahkan hasyiah berasaskan ayat-ayat dibaca di  dalam kitab, sebagai sambungan dari yang dibacanya di tempat lain  sebelum ke Masjid Al-Hasanah. Pengajarannya adalah berhubung dengan  aqidah, iaitu berkenaan dengan `Konsep Rububiyyah` yang bermaksud Allah  Maha Esa jua yang mencipta. Mengatakan yang lain berkuasa mencipta boleh  membawa kepada syirik, manakala `Tauhid Uluhiyyah` diberi huraian oleh  penceramah, ``Segala ibadat yang disuruh Allah, kita lakukan kerana  Allah, contohnya solat. Di dalam huraian beliau membawa dalil-dalil  daripada ayat Qur`an dan beliau mengaitkan juga dengan aspek-aspek  ibadat, hukum syara`, berkenaan solat dan kemuliaan bahasa Arab, iaitu  kerana bahasa Al-Qur`an, bahasa syurga dan kerana Rasulullah adalah  orang Arab.

Dari  pemerhatian Adun, kandungan pengajaran yang disampaikan adalah soal  aqidah dan hukum hakam biasa, tetapi keistimewaan ustaz Azhar dia  menyampaikan pengajaran dengan terang dan lebih istimewanya beliau dapat  menyelitkan di dalam pengajarannya unsur-unsur humor secara spontan  yang mencuit pendengar-pendengar dan secara spontan juga pecah ketawa  pendengar berderai. Contoh bila beliau menyebut tentang Hukum Syara`  yang lima, iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Menurutnya  `Taklif hanya kepada manusia yang berakal, binatang, walaupun besar  tidak wajib. Contoh singa tidak ditaklif, kerana tidak berakal, walaupun  besar. Tetapi singa berzikir kepada Allah. Beliau sebenarnya  menggunakan unsur lakonan bila berlagak sebagai singa dan menyebut  ngaumannya sebagai sama dengan sebutan nama Allah. Dengan penggunaan  unsur humour dan penggunaan elemen lakonan, menyebabkan penerangan hidup  dan sebutan tentang ngauman humour menyebabkan pendengar ketawa  berderai.

Contoh  lagi selepas pengajaran berhenti sekejap, kerana menghormati azan,  beliau menyambung pengajaran berhubung dengan `Syaitan`. Menurutnya  syaitan makhluk yang ada. Beliau mengaitkan dengan jin. Beliau membuat  gurauan semasa sembahyang berseorangan dalam masjid di waktu malam,  bagai ada yang mengikuti. Secara gurauan dan guna elemen memek muka yang  mencerminkan ketakutan yang menyebabkan pendengar gelak ketawa. Beliau  juga menyebut tentang orang kampung paling takut dengan harimau. Jika  berjalan di hutan dilarang menyebut harimau, kalau tersebut oleh  anak-anak yang mengikuti, lekas-lekas diisyratkan telunjuk ke mulut,  memaknakan suruh berhenti bercakap. Beliau menunjukkan dengan isyarat  dan memek muka dan menggunakan telunjuk.
Pada akhir pengajarannya  (dari selepas Maghrib hingga jam 9.00 malam) beliau memperuntukkan masa  satu jam untuk menjawab soalan-soalan. Sebelumnya beliau juga  melancarkan kutipan-kutipan. Soalan-soalan dihantar secara bertulis dan  sampai dalam masa mengajar. Terdapat berpuluh-puluh soalan yang sampai,  tetapi yang sempat dibaca kepada pendengar dan dijawab hanya lebih  kurang 10 soalan sahaja (bakinya menurutnya akan dijawab di tempat  lain). Cara beliau menjawab juga dihiasi dengan unsur-unsur humour yang  menyebabkan pendengar-pendengar ketawa tidak kering gusi. Misalnya bila  menjawab soalan adakah perempuan bermadu mendapat payung mas disyurga,  tentang orang dipaksa berzina secara kekerasan dan soalan (terakhir),  bagaimana ma`mum harus bertindak, apabila didapati imam bersolat subuh  melebihi dua rakaat dan komen beliau mengapa, soalan-soalan didominasi  persoalan berkahwin dan yang berkait dengan lelaki dan perempuan yang  dijawab juga dengan berbagai unsur humour. Adun dapati gaya ceramah atau  kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus ini ada semacam kesamaan  dengan cara yang disampaikan oleh Dato` Ismail Kamus yang gaya  pengajarannya diselit dengan unsur humor.
Hasil penelitian
Ceramah  dan pengajaran Ustaz Azhar Idrus menjadi daya tarikan, walaupun perkara  biasa, oleh kerana beliau dapat menyelit dan menghias huraian dengan  unsur-unsur humour. Kadang-kadang beliau menggunakan memek muka dan  unsur lakonan bagi mengexpresikan maksud yang mau disampaikan.
Beliau  seorang yang kuat mutalaah, terutama kitab-kitab agama, khususnya  aqidah dan fiqh, sebab itu beliau dapat menerang dan memberi contoh dan  istinbat dengan ayat Qur`an dan Hadith dengan lancar.
Beliau  berani menjawab soalan-soalan mengenai hukum dengan segera. Walau macam  mana jawapan soal-soal hukum boleh membawa seseorang terjatuh kepada  kontroversi dan kalau silap boleh meruntuhkan kredebiliti.
Populariti  Ustaz Azhar Idrus, terutamanya di kalangan golongan muda, antaranya  kerana mampu menggunakan media baru yang memang terkenal di kalangan  generasi baru seperti internet Yu-Tube, face book dan sebagainya.  Penggunaan kaset dan CD juga digunakan sebagai media penyebaran  pengajarannya yang banyak diikuti terutama oleh golongan muda.
Ustaz  Azhar mempunyai identitinya tersendiri, bersifat humor dan  kadang-kadang cynical dan mempunyai khalayaknya tersendiri dari golongan  muda dan golongan pertengahan – Di Bangi yang hadir ramai  pelajar-pelajar pengajian tinggi. Berlainan dengan pendekatan ``Berat  & philosophical`` yang juga mempunyai khalayak tersendiri, Contoh  Dr. Zulkifli Al-Bakri yang lembut dan warak terpengaruh dengan Hikam  yang dikajinya dan dari kalamnya yang mendalam kadang-kadang terluah  juga hikam.

Ceramah  beliau tamat jam 10.00 malam diikuti dengan solat isyak dua kali,  kerana ramai dan kekurangan ruang. Pihak Nazir Tuan Haji Nafiah  bertanyakan Tuan Setiausaha masjid Tuan Haji Kamaruddin tentang jumlah  yang dipungut. Menurut Tuan Haji Kamaruddin, ``Ada sebahagian lagi belum  dikira.` Tetapi menurut Tuan Haji Nafiah, ``Untuk ketelusan wajar  diumumkan agar penderma dapat tahu.`` Maka derma yang dipungut diumumkan  ialah RM47,000 (Maklumat mutakhir ialah RM48,200/=). (Penyaluran dan  pengagihan derma ini akan dibincangkan).
Adun berkesempatan  bercakap-cakap dengan Ustaz Azhar semasa makan bersamanya sebelum beliau  dan pengiring-pengiringnya memohon diri.
Sekian.
0 comments:
Catat Ulasan