
Apabila  Pengerusi Badan Kebajikan Guru Kafa Daerah Hulu Langat, Ustaz Haji  Zainudin bin Hussain menghubungi Adun bagi merasmikan Mesyuarat Agung  Badan Kebajikan Guru-Guru Kafa, Daerah Hulu Langat dan kemudian beliau  sendiri datang ke Pejabat Adun menghantar surat jemputan, Adun tidak  teragak-agak memberi ruang untuk datang merasmikan Mesyuarat Agung Ke 4.  Respond dari Adun, kerana melihat perlunya guru-guru Kafa berpersatuan –  sekarang Persatuan Kebajikan Guru-Guru Kafa Daerah Hulu Langat dan mau  melihat apakah kegiatan-kegiatan pernah dan akan dilakukan.

Mesyuarat  Agung Tahunan Kali Ke 4 adalah atas inisiatif Badan Kebajikan Guru Kafa  Daerah Hulu Langat bertempat di Dewan Sekolah Agama Nur Salbiah  berhampiran Surau Cheras Perdana. Hadir sama ke Majlis Perasmian ialah  Haji Zainuddin bin Hussain Pengerusi Jawatankuasa Badan Kebajikan, Puan  Faturah binti Mohd Naain Timbalan Pengerusi, Ustaz Mohd Rafi Penyelia  Kafa , Hulu Langat, Ustaz Zulkifli bin Mohd Zain Mantan YDP Persatuan  Kebajikan Kafa, Saudara Mansor Setiausaha dan para guru yang berjumlah  lebih kurang 50 orang. Guru perempuan lebih ramai dari lelaki – adalah  biasa.

Sebaik  Adun tiba (9.00 pagi) ke laman surau Cheras Perdana terus diiring ke  Dewan Sekolah berdekatan dan Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan oleh  Pengerusi Persatuan Kebajikan Ustaz Zainuddin Hussain, beliau berterima  kasih di atas kehadiran para jemputan. Menurut beliau, ``Persatuan  ditubuhkan pada tahun 2,000 dan berjaya mendaftar di ROS pada tahun  2008. Terdapat 2,000 guru-guru Kafa di Hulu Langat, tetapi jumlah mereka  yang mendaftar keahlian adalah sedikit.`` Menurut Ustaz Zainuddin lagi,  `` Antara tujuan penubuhan Persatuan Kebajikan ialah bagi mendapat  pertimbangan wajar dari segi gaji. Misalnya pada tahun-tahun 1970an gaji  guru Kafa ialah RM100.00, 1990an RM200 dan pada tahun 1993 sebanyak  RM288/= sebulan. Tujuan juga bagi meningkatkan prestasi guru sebagai  bidang professional melalui kursus dan pembelajaran.``. Menurut Ustaz  Zainuddin selama ini ada dianjurkan kursus dan bantuan kebajikan bagi  ahli-ahli.

Adun  Bangi dalam ucapan perasmiannya, mengucap terima kasih di atas  jemputan. Adun sendiri mengakui sebelum ini tidak mengetahui adanya  Badan Kebajikan Guru Kafa. Adun berpendapat adalah penting guru-guru  agama di negeri Selangor mempunyai Persatuan Guru-Guru Agama Selangor  (PEGAS) yang melibatkan skop yang lebih luas. Banyak perkara yang dapat  diberi perhatian terhadap masalah, nasib dan peluang guru-guru agama.  Bagi memperjuangkan nasib guru-guru agama tidak boleh hanya secara  bersendirian, tetapi hendaklah secara berjamaah. Selama ini Adun hanya  mengetahui yang ada ialah Persatuan atau Jamaah Guru Besar atau PIBG  Sekolah agama. Sudah tiba Badan Kebajikan memperluaskan skop dan  peranannya bagi kepentingan guru agama. Mereka tidak wajar ditakut atau  ditekankan untuk berpersatuan. Banyak masalah yang dapat diberi  perhatian. Tetapi menurut Adun, selama menjadi Wakil Rakyat, beliau  tidak mendapati adanya desakan atau tuntutan dari guru agama bagi  membaiki gaji mereka atau memperbaiki keperluan Sekolah agama mereka.  Tetapi hal ini datangnya dari luar yang memandang pentingnya diberi  perhatian terhadap nasib guru-guru agama, Misalnya pada awal Tahun 2000  Adun Bangi membawa usul dalam Dewan Negeri Selangor supaya dinaikkan  elaun guru agama dari dari RM400/= lebih kepada RM600/= lebih dan pada  tahun 2009 saudara Azmin Ali dan Adun Bangi sekali lagi membawa cadangan  supaya dinaikkan gaji guru agama kepada RM1,000 dan diterima.


PEGAS penting ditubuhkan bukan setakat untuk kepentingan kebajikan ahli, tetapi antara perkara yang patut diperjuangkan:  
a)  PEGAS boleh menuntut agar guru agama perlu dinaikkan taraf dari  kedudukan sementara, kepada guru tetap dan berpencen dengan jumlah gaji  yang bersesuaian berdasarkan kelulusan dan beban kerja.
b) PEGAS  boleh mendesak supaya guru-guru agama diberi peluang berkursus dan  mendapat sijil atau diploma perguruan yang melayakkan mereka membuat  tuntutan yang bersesuaian dengan kelulusan dan kelayakan mereka.
c)  PEGAS meminta pihak berkuasa memperbaiki dan menyediakan bangunan  Sekolah, kawasan dan infra-struktur yang bersesuaian bagi Sekolah.
d) PEGAS meminta diberi hak sama membincangkan dan memperbaiki kurikulum sekolah agama dan membuat cadangan-cadangan
e)  PEGAS berusaha dan mencadang bagi mewujudkan peluang pelajar lulusan  sekolah agama menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
f)  PEGAS boleh mencadangkan kurikulum bersepadu dan mengurangkan berbagai  jenama Sekolah terutama pada peringkat rendah kepada yang lebih asas dan  identik.
g) PEGAS boleh mendesak agar dibanyakkan Sekolah agama  menengah agar dapat menampung kekurangan tempat yang amat diperlui bagi  pelajar aliran agama menyambung pengajian.
h) PEGAS boleh mendesak agar konsep Sekolah Agama Integrasi perlu dibanyakkan dan ditingkatkan kualiti.
i) PEGAS boleh mencadangkan agar pentadbiran dan perjalanan Sekolah agama – PIBG dan Guru-Guru diperbaiki  
j) PEGAS perlu mencadangkan agar penilaian terhadap kualiti Sekolah agama
dibuat secara berterusan agar pembaikan terus dapat dilakukan.
Adun  merasmikan Mesyuarat Agung dengan harapan ada perubahan positif yang  dapat meningkatkan kualiti pendidikan agama. Wallu a`lam.
Sekian.
  
0 comments:
Catat Ulasan