JUMAAT 19 OGOS 2011 BERSAMAAN 19 RAMADHAN 1432
PELUANG PENINGKATAN IBADAH DI BULAN RAMADHAN MELALUI ZIARAH PESAKIT DAN SUMBANGAN KEPADA PESAKIT DI WAD-WAD TERPILIH DI HOSPITAL KUALA LUMPUR
Masyarakat Islam di negara ini sedang melalui fasa terakhir bulan Ramadhan Al-Mubarak, dan kita sangat digalakkan untuk mempertingkatkan aktiviti-aktiviti ibadah dan perbuatan baik, sebagai melambangkan harapan dan kesungguhan kita untuk memperolehi ganjaran optimum daripada Allah SWT.
Selain ibadah khusus yang dilakukan di sepuluh hari-hari terakhir bulan Ramadhan, Islam juga amat menitikberatkan sifat belas ihsan serta hubungan silaturrahim dan tolong-menolong di kalangan setiap anggota masyarakat di dalam bulan yang mulia ini. Secara khususnya, Islam sangat menggalakkan umatnya menziarahi orang yang sedang sakit sama ada terlantar di hospital ataupun di rumah. Menziarahi pesakit merupakan satu amalan yang sangat mulia dan sangat dituntut dalam ajaran Islam. Ini bagi memastikan hubungan silaturrahim terus terjalin dengan lebih erat. Kelebihan menizarah orang yang sedang sakit ini juga tercatat di dalam sebuah hadith, mafhumnya: Daripada Ali ra, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tiada seorang pun yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petang. Sekiranya dia menziarahi saudaranya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah sehingga ke pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah-buahan syurga yang boleh dipetik pada bila-bila masa." [HR At-Tirmizi]
Di atas kesedaran ini, pihak Islamic Outreach ABIM, sebuah organisasi bukan kerajaan berteraskan dakwah, kebajikan dan pendidikan dengan kerjasama kumpulan sukarelawan Program Ziarah Pesakit Di Hospital akan melakukan ziarah dan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada pesakit di Hospital Kuala Lumpur. Bersesuaian dengan ajaran Islam yang sangat menganjurkan sifat belas ihsan dan silaturahim sesama umat manusia, tujuan program ini diadakan adalah untuk menziarahi dan meraikan pesakit yang berada di wad-wad terpilih. Berikut adalah maklumat mengenai program berkenaan:
Tarikh : 24 Ogos 2011 / 24 Ramadan 1432H (Hari Rabu).
Masa : 9.00 Pagi hingga 12.30 Tengahari.
Wad : Wad Kelas 3 (Wad Kanser, Neorologi, Nefrologi, Ortopedik, (Spinal dan
Psikiatrik)
Tempat : Hospital Kuala Lumpur.
Bil. Pesakit : 500 Orang.
Program ini juga mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak Pengarah Hospital Kuala Lumpur dan juga pihak Jabatan Kerja Sosial Perubatan. Seramai 40 orang peserta akan terlibat dengan program yang melibatkan staf dan sukarelawan Program Ziarah Pesakit Di Hospital daripada Islamic Outreach ABIM.
Selain itu, sempena Bulan Ramadhan al-Mubarak ini, pihak Islamic Outreach ABIM juga mengalu-alukan penyertaan sukarelawan serta sumbangan daripada orang ramai terutamanya sumbangan kewangan bagi membantu meringankan bebanan pesakit yang kurang berkemampuan serta masih menerima rawatan di hospital. Setiap sumbangan boleh disalurkan kepada Penyelaras Program Ziarah Pesakit Di Hospital, Saudara Mohd Zurharman Bin Zakaria dengan menghubungi talian 03-4256 9822 atau faks, 03-4257 4500 dan juga melalui e-mail, zurharman@hotmail.com.
Azril Mohd Amin
Pengerusi
Islamic Outreach ABIM
Nota Khaiatbsp: Salah satu cara beramal dibulan Ramadhan ini. Mudah-mudahan amal kita diterima Allah.
http://khaiatbsp.blogspot.com
-Khaiatbsp-
0 comments:
Catat Ulasan