Terkini

Pemaju boleh disenarai hitam

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Kerajaan akan menyenarai hitam syarikat pemaju yang gagal menguruskan penyelengaraan projek perumahan kos rendah di Wilayah Persekutuan selepas ia siap dibina.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, tindakan itu wajar kerana sesetengah pemaju hanya menumpukan keuntungan tanpa memikirkan tanggungjawab sosial untuk menyelenggara perumahan kos rendah.
"Kementerian telah mengajukan cadangan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya menyenarai hitam pemaju swasta selepas pindaan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663).
"Selepas pindaan Akta 663 itu, kita akan senarai hitam pemaju yang gagal dalam melaksanakan penyelenggaraan bangunan perumahan kos rendah ini," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Meraikan Kelahiran Bayi Sempena Hari Wilayah Persekutuan dan sumbangan cenderahati kepada pesakit-pesakit obstetrik dan ginekologi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini hari ini.
Turut hadir isterinya, Datin Nafesah Raja Nong Chik; Pengarah Eksekutif, Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Idris Mohd Isa dan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar.
Dalam pada itu, Raja Nong Chik berkata, Tabung Penyelengaraan 1Malaysia (TP 1Malaysia) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi diharap dapat membantu pengurusan rumah atau bangunan bertingkat yang memerlukan hak milik strata supaya diuruskan dengan lebih baik dan teratur.
"Kementerian menyasarkan dana RM50 juta daripada pemaju swasta bagi peruntukan TP 1Malaysia.
"Kita harap pemaju swasta ini sedar tanggungjawab sosial mereka sama-sama menyumbang walaupun Perdana Menteri mengumumkan RM2.6 juta daripada firma swasta tetapi kita sasarkan lebih RM50 juta," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, tambahnya, kementerian mengharapkan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) dapat membantu dan bekerjasama dalam pengurusan penyelenggaraan.
"JMB yang ditubuhkan diharap dapat mengemukakan senarai permohonan pemilik yang layak kepada TP 1Malaysia untuk menerima bantuan tersebut," katanya.
TP 1Malaysia diwujudkan bagi membantu membaik pulih rumah-rumah kos rendah milik swasta di ibu negara.
Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM20 juta manakala Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (RM5 juta), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (RM10 juta) dan firma swasta (RM2.6 juta).

0 comments:

Malinglist Terkini

Related Posts with Thumbnails

Kalendar

Maklumat Setempat

Pihak Berkuasa Berkaitan

Malaysiakini

Berita Harian

ESPNsoccernet