Terkini

Projek sekolah (SM BSP) perlu diberi keutamaan

BANGI 26 Jan. - Kerajaan perlu mewujudkan satu pasukan khas untuk memantau setiap projek sekolah yang dilaksanakan di seluruh negara supaya langkah segera dapat diambil jika sesebuah projek itu berdepan masalah.

Penduduk Bandar Seri Putra dekat sini berpendapat, walau apa pun yang terjadi, projek sekolah tidak wajar dibiarkan terbengkalai kerana ia memberikan kesan besar kepada masyarakat.

Seorang penduduk di kawasan perumahan berkenaan, Riduan Ramli, 30, berkata, projek pembangunan sekolah perlu diberikan keutamaan dan dielakkan daripada terbengkalai.

Dia yang sudah menetap di bandar baru berkenaan sejak tiga tahun lalu mengakui amat kecewa kerana sekolah di kawasan itu gagal disiapkan.

"Penduduk di kawasan ini semakin padat dari semasa ke semasa. Keadaan ini amat menyulitkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah menengah," ujarnya.

Dia berkata, kemudahan sekolah sering menjadi faktor seseorang membeli rumah di sesebuah kawasan baru dan amat mengecewakan jika kemudahan itu tidak dapat dinikmati dengan segera.

Kesan kegagalan projek sekolah itu disiapkan mengikut jadual turut dirasakan oleh My'sara Sofea Mahizan, 14 tahun.

Anak keempat daripada enam orang adik-beradik itu terpaksa bersekolah di Sekolah Menengah Engku Hussain, Semenyih yang terletak lebih 12 kilometer dari rumahnya sejak tahun lalu.

"Sememangnya agak menyedihkan, namun apa boleh buat. Apa yang saya harapkan ialah sekolah ini dapat disiapkan dengan segera. Kalau boleh sebelum tahun depan," ujarnya.

Dia mengakui terpaksa terpaksa keluar awal pagi bagi mengelakkan tertinggal bas sekolah.

Selain My'sara, terdapat kira-kira 40 rakannya dari kawasan perumahan berkenaan dan berhampiran belajar di sekolah sama.

Turut berkongsi kekecewaan ekoran pembinaan sekolah menengah di kawasan berkenaan terbengkalai ialah seorang bapa, Murad Adam. 41.

Dia yang tinggal di Bandar Bukit Mahkota, bersebelahan Bandar Seri Putra berkata, memandangkan tiada sekolah menengah di kawasan tempat tinggalnya, anak-anaknya terpaksa dihantar bersekolah di Jalan 2, Bandar Baru Bangi.

"Sekiranya sekolah menengah di sini dibuka, anak-anak di Bandar Bukit Mahkota boleh bersekolah di sini kerana ia lebih hampir," ujarnya yang mempunyai anak-anak yang belajar di tingkatan satu dan tiga di sekolah berkenaan.

Sambil merayu agar kerajaan menyegerakan kerja-kerja menyiapkan sekolah berkenaan, dia juga berharap pihak pemaju turut memainkan peranan agar sekolah berkenaan dapat disiapkan segera.

Difahamkan, sebelum ini, kawasan bandar baru itu turut mengalami masalah sekolah rendah yang terbengkalai selama hampir setahun.

Namun, usaha menyiapkan sekolah berkenaan akhirnya terlaksana dan murid-murid sudah memulakan sesi persekolahan pada bulan Jun tahun lepas.

Bagi pengawal keselamatan di tapak projek berkenaan, Rajendra Kumar, 31, dia sendiri tidak begitu tahu tentang status sekolah berkenaan.

Dia yang baru dua bulan ditugaskan menjaga keselamatan tapak sekolah berkenaan berkata, dia sering disoal tentang status projek itu oleh ibu bapa yang datang melawat ke tapak projek berkenaan.

"Saya dimaklumkan projek sekolah ini terbengkalai disebabkan pemajunya sudah bankrap. Dari apa yang saya dengar, usaha untuk menyambung semula projek ini sedang dijalankan. Lebih dari itu, saya tidak tahu," ujarnya.

Dia turut melahirkan kebimbangan, sekiranya sekolah tersebut terus terbengkalai, kemungkinan pelbagai kejadian seperti kecurian barang-barang akan berlaku.

sumber: utusan malaysia

0 comments:

Malinglist Terkini

Related Posts with Thumbnails

Kalendar

Maklumat Setempat

Pihak Berkuasa Berkaitan

Malaysiakini

Berita Harian

ESPNsoccernet