Harap warga Mawar juga berhati-hati.
Semua Penduduk Yang Dihormati,
Lazimnya jenayah pecah masuk rumah, curi kereta/motosikal, samun, penipuan dan ragut digunakan dengan berbagai cara dan taktik oleh penjenayah yang tidak puas-puas menyusahkan orang ramai hinggakan kadangkala kita leka seketika dan tertipu dengan aktiviti mereka yang bergerak maju di mana-mana jua kawasan perumahan. Apa yang hendak dikongsi bersama adalah satu kejadian penipuan yang telah berlaku pada 07 Jul 2009 di Kedai Aisha Photostate di Jalan Seri Putra 1/5 (kedai baru).
Mangsa yang bekerja di kedai tersebut didatangi oleh seorang lelaki bangsa cina kononnya untuk mengambil bayaran membaiki komputer yang telah dilakukannya pada 06 Jul 2009 dengan tuan kedai tersebut (mangsa tidak bekerja pada hari tersebut, 06 Jul 2009 dan tidak tahu menahu mengenainya). Semasa penyangak ini datang tuan kedai tiada kerana keluar berurusan di luar. Apabila mangsa diminta membayar sebanyak RM350.00, mangsa kata ia tiada wang sejumlah itu. Lalu penyangak tersebut pura-pura menelefon tuan kedai tersebut untuk mendapatkan bayaran dan memberitahu mangsa yang tuan kedai tersebut suruh mangsa ambil wang di dalam peti cash yang tersimpan di dalam laci meja tuan kedai.
Namun mangsa tidak mahu melakukannya tetapi penyangak ini terus mendesak mangsa untuk membuka peti cash tersebut. Akhirnya mangsa cuba membukanya tetapi tidak dapat dibuka kerana tiada anak kunci. Penyangak ini masih tidak berputus asa lalu berpura-pura telefon semula tuan kedai tersebut dan memberitahu mangsa bahawa tuan kedai minta dibawakan peti cash tersebut di kedai Jalan 1/4 kerana beliau ada urusan di sana.
Entah bagaimana mangsa ini boleh terpedaya, tanpa usul periksa tanpa menghubungi tuan kedai untuk mendapatkan pengesahan, menyerahkan peti cash kepada penyangak tersebut. Hairankan…….. Apa lagi peluanglah, penyangak ini mengambilnya lalu meninggalkan kedai tersebut dengan menaiki sebuah kereta yang telah pun ada seorang perempuan menunggu di dalamnya. Mangsa tidak terfikir untuk mengambil nombor kereta tersebut tetapi mangsa rasa ianya kereta jenis Toyota warna merah tua. Tuan kedai kembali tidak lama selepas itu dan terperanjat dengan kejadian yang baru berlaku lalu membuat laporan Polis.
Inilah caranya jenayah berlaku, bermacam-macam gaya, bermacam-macam tipu helah, lakonan dan sebagainya namun ada lagi yang tidak perasan, menyedari dan tidak mengambil serius bagaimana untuk mencegah daripada terus berlaku. Kes ini lebeh kurang sama yang telah dilapurkan dahulu iaitu berlaku disebuah rumah pada 05 Jun 2009 yang didatangi oleh seorang kontraktor yang kononnya untuk membaiki paip air. Pembantu Rumah tanpa usul periksa atau tanpa menghubungi tuan rumah untuk mendapatkan pengesahan lalu membenarkan kontraktor tersebut masuk. Penyangak yang kononnya menyamar sebagai seorang kontraktor membaiki paip air mengarahkan mangsa naik ke tingkat atas untuk membuka paip air di dalam bilik air lalu keluar membawa lari sebuah Lap-top dan sebuah telefon bimbit PDA.
Diharapkan apa yang telah berlaku dapat dihebahkan kepada semua supaya setiap penduduk mengetahui setiap inci jenayah yang telah berlaku dikejiranan kita di Bandar Seri Putra ini supaya dapat bersama-sama mencegah, menghalang dan membasmi kejadian jenayah yang tidak diingini dari muka bumi Bandar Seri Putra yang kita cintai. Sebarang maklumat jenayah atau perkara-perkara yang dicurigai jenayah sedang berlaku disekeliling kita hendaklah terus menghubungi/disalurkan kepada pihak Polis di Balai Polis Bangi ditalian 03-8925 8222 supaya pencegahan, penahanan dan penangkapan dapat dilakukan oleh pihak Polis.
Sekian, dimaklumkan. Utamakan keselamatan.
Norizan bin Hj Sulaiman
BHDSB
0 comments:
Catat Ulasan