YB Dr Khir Toyo hari ini menyebut dalam blognya agar penghuni rumah pangsa macam kita dapat juga merasa air percuma yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Berikut petikannya:
Air Percuma Di Selangor, Tercapaikah Matlamat?
Pertamanya saya ucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Selangor atas kejayaan mereka melaksanakan pemberian air sebanyak 20 meter padu secara percuma. Tampak selepas mendapat desakan, kerajaan negeri berjaya melaksanakan skim tersebut.
Kepada rakyat Selangor, janganlah kita gunakan kesempatan untuk membazir air. Walaupun ia percuma tetapi tidak sepatutnya dibazirkan. Kita harus belajar untuk menjimatkan penggunaan air bersih ini kerana saya percaya suatu hari nanti kita akan menghadapi krisis air yang berpanjangan.
Memandangkan projek pengaliran air dari Pahang ke Selangaor masih lagi tertangguh, saya khuatir kita akan mengalami krisis air suatu ketika nanti. Melalui pengalaman saya berbincang dengan beberapa pakar, dipercayai Lembah Klang akan mengalami krisis air pada 2012 jika projek air Pahang-Selangor tidak dapat disiapkan.
Dalam satu pembentangan isu air, perunding yang dilantik oleh Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi berpendapat jika projek ini gagal dilaksanakan pada tahun ini, maka ia akan gagal disiapkan pada 2012. Kemungkinan ia hanya siap pada 2016.
Justeru, saya harap kerajaan negeri meneruskan usaha yang telah dibuat kerajaan terdahulu dengan mencari sumber air alternatif dan juga menjalankan kempen secara aggresif supaya pengguna menggunakan air dengan cermat.
Lembah Klang merupakan daerah yang menggunakan jumlah air yang tertinggi di dunia dan keadaan ini tidak boleh diteruskan. Jika tidak rakyat harus menerima hakikat menghadapi krisis air berpanjangan di masa akan datang.
Berhubung dengan air percuma 20 meter padu, saya telah menimbulkan perkara ini agar diadakan satu mekanisme khusus supaya semua unit rumah-rumah pangsa kos rendah, kos sederhana mahu pun kondominium juga mendapat pengurangan tersebut walaupun mereka menggunakan meter bersepadu (bulk meter).
Jika kaedah pengebilan sedia ada digunakan hari ini, pengurangan hanya diberikan 20 meter padu yang pertama kepada setiap bil-bil air. Jika ini diteruskan, maka sesebuah flat yang mempunyai 200 unit hanya akan mendapat pengurungan 20 meter padu pertama sahaja. Ini kerana mereka diberikan satu bil yang sama seperti rumah teres.
Saya cadangkan bagi rumah pangsa yang menggunakan meter sepadu ini, supaya diadakan pengiraan khas, iaitu pengurangan hendaklah diberikan sebanyak 20 meter padu didarab dengan jumlah unit yang ada di blok tersebut.
Dan pengurangan hendaklah diberikan mengikut RM 11.40 X unit yang ada. Jika ini tidak dibuat, maka niat kerajaan negeri untuk membantu golongan berpendapatan rendah tidak tercapai. ia hanya akan bersifat window dressing sahaja. Bak kata perpatah, manis kata di mulut, kesannya tiada makna.
Saya faham, saya akan ditempelak dengan artikel ini tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain kerana saya telah didatangi oleh beberapa persatuan penduduk rumah-rumah pangsa di sekitar Selangor.
Ingin saya jelaskan sekali lagi, tugas saya bukan untuk mencari salah kerajaan negeri. jauh sekali menegur kerajaan yang baru ini. Saya hanya memperjuangkan hak rakyat yang telah menemui saya. Jika saya tidak laksanakan saya pasti dituduh oleh pendokong Pakatan rakyat sebagai pemimpin yang tidak sensitif terhadap tuntutan rakyat.
Saya berharap pemimpin pakatan rakyat tidak tersinggung, jauh sekali menjadi bongkak dengan pandangan ini.
Eloklah kita mengikut resam padi, makin berisi makin tunduk. Jangan jadi lalang, isi tiada, sombongnya berdiri tegak tanpa sebarang erti.
0 comments:
Catat Ulasan